Segala suruhan dan larangan dalam agama ini sudah cukup lengkap, sempurna dan mudah. Justeru kita tidak perlu menempelnya dengan unsur luaran. Dan kita tidak perlu merungkai ikatannya. Tempelan hanya akan menyebab ketulenan agama itu terhakis. Rungkaian pula akan menyebabkan ikatan agama terlerai.
Suruhan dan larangan agama merupakan peraturan bagi untuk manusia menguruskan kehidupan di dunia. Tanpa peraturan tersebut dunia yang luas akan menjadi sempit dan menggongkong kebebasan kita bergerak.
Hal ini ibarat kereta yang dipandu di jalan raya. Tanpa peraturan kereta perlu dipandu mengikut haluan dan laluan khusus, maka jalan raya yang luas menjadi sempit dan membantutkan perjalanan. Contohnya, jika semua orang mendakwa ia berhak diberi keutamaan untuk terus bergerak melintasi simpang, maka sudah pasti semua kenderaan akan tersekat di simpang itu dan menyebabkan kesesakan yang berpanjangan.
Kempen memandu berhemah adalah mauizah hasanah. Manakala penguatkuasan undang-undang adalah amar maaruf nahi mungkar. Adakah ada sesiapa membantah penguatkuasaan undang-undang seperti surat amaran, saman, tarik kereta dan sebagainya dengan hujah bahawa pemandu kenderaan itu seorang yang ikhlas, dia mempunyai hak asasi, dan dia mesti dibiarkan sehingga sedar sendiri?!
Namun setelah pelbagai jenis kempen dijalankan para pendakwah, pemerintah tetap mengabaikan nahi mungkar. Oleh itu, rakyat wajib bangun melaksanakan kewajipan itu dengan mengikut etika tertentu untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih besar.
|