Al-Syifa’ binti Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.‘A.W bersabda: ارقِى ما لم يكنْ فيه شركٌ باللهِ “Berjampilah selagi ia tidak mengandungi perkara syirik dengan Allah.” (Dikemukakan oleh al-Tabarani dan al-Hakim. Al-Munawi menilainya Sahih) Di dalam kitab Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud dinyatakan: Sah berzikir dan berdoa dengan lafaz yang tidak ma’thur (bukan lafaz Rasulullah) berdasarkan hadis-hadis berikut: 1) Anas RA melaporkan bahawa katanya: Saya pernah bersama Rasulullah berada di dalam satu majlis. Lalu seorang lelaki datang dan memberi salam kepada Rasulullah dan semua orang yang berada di situ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ “Salam sejahtera dan rahmat Allah ke atas kamu.” Kemudian Rasulullah menjawab: وَعَلَيْكُمُ السَّلاَمُ، وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ “Ke atas kamu kamu juga kesejahteraan, rahmat Allah dan keberkatanNya.” Setelah orang itu duduk dia berkata: الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا أَنْ يُحْمَدَ وَيَنْبَغِي لَهُ “Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, elok dan berkat sebagaimana yang disukai dan sepatutnya Tuhan kita dipuji.” Lalu Rasulullah bertanya: “Apakah yang kamu katakan?” Lalu dia mengulanginya. Kemudian Rasulullah bersabda: Demi yang diriku di TanganNya (dalam kuasaNya) sepuluh malaikat telah bersegera kepadanya. Setiap mereka bersungguh-sungguh ingin mencatat amalan itu. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak mencatatnya. Lalu mereka mengangkatnya kepada kepada Yang Mempunyai Kemuliaan (Allah). Lalu Allah mengatakan: “Tulislah sebagaimana yang hambaku katakan.” (Dilaporkan oleh Imam Ahmad. Perawinya semua thiqah.) 2) Abdullah bin Umar melaporkan bahawa Rasulullah memberitahu kepada mereka bahawa seorang hamba dari kalangan hamba Allah berkata: يَا رَبِّ، لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلاَلِ وَجْهِكَ، وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ “Wahai Tuhanku, bagiMulah puji-pujian yang selayaknya dengan kebesaranMu dan keagungan kekuasaanMu.” Lalu dua malaikat tidak mampu mencatatnya dan tidak tahu bagaimana untuk mencatatnya. Lalu mereka naik ke langit dan berkata: “Wahai Tuhan kami, seorang hamba telah berkata sesuatu tetapi kami tidak tahu bagaimana hendak menulisnya.” Lalu Allah berkata – sedangkan Dia lebih tahu perkara yang disebutkan hambaNya -: “Apakah yang hambaKu sebutkan?” Dua malaikat menjawab: “Ia mengatakan: “Wahai Tuhanku, bagiMulah puji-pujian yang selayaknya dengan kebesaranMu dan keagungan kekuasaanMu.” Lalu Allah berkata: “Catatlah sebagaimana yang hambaku sebutkan sehinggalah dia bertemuku, maka aku akan memberi ganjarannya.” Panduan berzikir dan berdoa dengan pelbagai lafaz dan ungkapan dapat dirujuk di dalam buku: Ratib Kekasih Allah |